SERDANG – Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku berdekatan longkang besar menyebabkan lima buah kenderaan rosak teruk di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, dekat sini lewat petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kejadian pukul 6.38 petang.
“Seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pukul 6.58 didapati berlaku tanah runtuh dan mendap di kawasan berhampiran longkang menyebabkan lima buah kenderaan mengalami kerosakan,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Katanya, pihak bomba telah menjalankan pemantauan di lokasi bagi memastikan keadaan selamat dan terkawal.
Terdahulu, satu video berdurasi 15 saat tular di media sosial memaparkan dua lelaki yang berada berdekatan tebing longkang berlari menyelamatkan diri sebaik menyedari tebing berkenaan runtuh.
Kelihatan sejumlah buah kenderaan yang diparkir di tepi tebing turut tenggelam bersama runtuhan itu. – K! ONLINE