ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan menyalurkan pelbagai jenis bantuan termasuk bagi projek ekonomi kepada kumpulan sasar dengan peruntukan berjumlah RM8 juta pada tahun ini.
Pengurus Besarnya, Kamarudin Abd. Akib berkata, jumlah penerima bantuan juga dijangka bertambah kepada antara 800 hingga 900 orang.
“Pada tahun lalu, dianggarkan kira-kira 600 orang menerima bantuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 oleh Pengerusi KEDA, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini kelmarin.
Kata Kamarudin, bantuan tersebut dijangka mula disalurkan pada bulan hadapan.
“Bantuan itu antaranya bagi projek-projek pertanian, ternakan, perniagaan kecil dan usahawan,” ujar beliau.
Menurutnya, KEDA tidak memberikan modal dalam bentuk wang tetapi bantuan peralatan yang diperlukan mengikut bidang masing-masing.
Sementara itu, berhubung Pelan Strategik KEDA 2021-2025, beliau menyeru kira-kira 390 kakitangan KEDA untuk turut sama mengembleng idea dan tenaga bagi menjayakan pelan tersebut.
“Saya menaruh harapan tinggi supaya kita dapat melaksanakan pelan strategik itu dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti,” tambahnya.