fbpx

KEDA perkasa ekonomi luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ku Abd. Rahman (tengah) pada majlis pelancaran Pelan Strategik KEDA 2021-2025 di Alor Setar kelmarin.

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited untuk terus memperkasakan pembangunan luar bandar dengan memberi tumpuan penuh kepada kumpulan sasar seperti usahawan desa dan golongan miskin tegar.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail berkata, tumpuan akan diberikan kepada lima fokus strategik yang disenaraikan dalam Pelan Strategik KEDA 2021-2025.

“Fokus strategik itu adalah memperkasa pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam luar bandar yang lengkap dan berkualiti serta membangunkan modal insan luar bandar yang cemerlang secara holistik.

“Tiga lagi adalah memantapkan pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar, memperkasakan usahawan KEDA luar bandar selain memantapkan keupayaan kapasiti organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Pengerusi Keda di Kompleks Ibu Pejabat KEDA di sini kelmarin yang turut dihadiri Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd. Akib.

Ku Abd. Rahman pada majlis sama turut melancarkan Pelan Strategik KEDA 2021-2025 tersebut.

Menurut beliau, selain usahawan desa dan golongan miskin tegar, pelaksanaan pelan strategik itu turut menyasarkan petani, penternak, usahawan desa, institusi kepimpinan masyarakat, institusi koperasi serta golongan wanita, belia, kanak-kanak dan pelajar.

Ku Abd. Rahman berkata, pelan strategik tersebut adalah berpandukan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Pembangunan Luar Bandar dalam usaha mentransformasi Malaysia menjadi negara maju.

“Pelan ini adalah hala tuju yang disediakan atas dasar keazaman pengurusan KEDA untuk melahirkan gerak kerja tersusun, sistematik dan terancang bagi membantu meningkatkan prestasi pencapaian akan datang.

“Oleh itu, pelan ini adalah signifikan bagi meneruskan kecemerlangan organisasi yang sentiasa mengutamakan amalan budaya kerja inovatif dan kreatif melalui warganya yang berintegriti, pantas dan profesional,” ujarnya.

DR. KU ABD. RAHMAN

Mengulas lanjut kata beliau, selain lima fokus strategik, Pelan Strategik KEDA turut merangkumi 20 strategi, 72 program dan 111 sasaran.

“Saya sangat yakin bahawa pelan strategik ini adalah manifestasi lengkap KEDA untuk kita terjemahkan dalam bentuk tindakan kepada golongan sasar kita,” katanya.

Selain itu, menurutnya, bantuan ekonomi kepada kumpulan sasar akan terus diperhebatkan lagi sebagai usaha untuk meringankan beban golongan itu sewaktu pandemik Covid-19 ini.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian KEDA pada tahun lalu meskipun terpaksa menempuh suasana yang serba mencabar,” katanya.

Tambahnya, projek-projek pembangunan antaranya melibatkan jalan dan kemudahan awam serta rekreasi akan terus diperhebatkan seiring dengan dasar membandarkan luar bandar.

“Selain itu, kita juga akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar serta program keusahawanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI