LONDON – Pengurus Watford, Claudio Ranieri akhirnya dipecat selepas tiga bulan dilantik membimbing pasukan berkenaan ekoran prestasi yang semakin memburuk dengan menghuni kedudukan ke-19 Liga Perdana Inggeris ketika ini.
Ranieri diberikan kontrak selama dua tahun ketika dilantik sebagai pengurus baharu Watford pada Oktober tahun lalu ketika pasukan itu menduduki tangga ke-15 liga.
Bagaimanapun, selepas mengambil alih tugas berkenaan, Ranieri dilihat terus gagal untuk memulihkan prestasi pasukan itu apabila sekadar meraih dua kemenangan dalam 14 aksi selain disingkir oleh Leicester City pada aksi pusingan ketiga Piala FA.
“Watford mengesahkan bahawa ketua jurulatih, Claudio Ranieri tidak lagi bersama pasukan ini.
“Ahli lembaga pengarah kelab sedar bahawa Claudio adalah seorang yang memiliki intergriti yang tinggi dan sentiasa dihormati oleh seluruh warga di Vicarage Road dengan kesungguhan untuk memulihkan pasukan ini.
“Bagaimanapun, mengambil kira prestasi semasa ketika saingan sudah memasuki separuh kedua, kami perlu membuat perubahan dalam usaha memastikan individu baharu yang dilantik nanti mempunyai masa untuk mengembalikan prestasi pasukan.
“Hasrat kelab ini adalah untuk memastikan kami akan terus kekal dalam saingan utama musim depan menyebabkan keputusan memecat Ranieri terpaksa dilakukan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Watford.
The Hornets ketika ini sedang melalui sembilan aksi tanpa kemenangan selepas mereka menewaskan Manchester United 4-1 sebelum ini dan sedang mencari pengurus ketiga musim ini. – AGENSI