KEMELUT antara perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat semakin hampir untuk menemui titik noktah selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan semalam.
Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, pertemuan yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara mencapai hasil positif serta mengutamakan kepentingan negara.
Beliau turut menjelaskan, hasil pertemuan itu akan dibawa ke mesyuarat Ahli Majlis BAM untuk pengesahan rasmi sebelum pengumuman minggu depan.
“Perjumpaan hari ini (semalam) berhubung rayuan Zii Jia. BAM sangat konsisten dengan isu ini dengan kepentingan negara jadi keutamaan dan kami tidak pernah halang pemain menjadi profesional.
“Hasil pertemuan ini sangat positif dan sudah jumpa jalan penyelesaian untuk kedua-dua pihak Zii Jia dan BAM.
“Kami akan bawa perkara ini kepada Ahli Majlis untuk pengesahan sebelum buat pengumuman secara rasmi pada minggu depan.
“Kedua-dua belah pihak sudah sampai ke satu kesudahan yang memuaskan hati serta bagus untuk negara dan BAM. Dari satu aspek, kita boleh anggap Zii Jia dan BAM tidak pernah berpisah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perjumpaan itu.
Jahaberdeen juga menjelaskan, BAM sebagai badan induk sukan badminton negara tidak pernah membezakan sama ada pemain profesional atau tidak dalam membantu perkembangan badminton tanah air.