Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan akan membawa masuk seorang lagi pemain import bagi memperkuatkan pasukan untuk saingan Liga Super dan Liga Juara-juara Asia (ACL) musim ini.
Perkara itu dimaklumkan Tunku Mahkota Johor itu selepas sebuah halaman bola sepak di media sosial melaporkan pemain kelahiran Mali, Moussa Sidibe adalah pemain import terakhir ditandatangani oleh Harimau Selatan.
“Pemain terakhir yang akan menyertai JDT adalah Moussa Sidibe. Dari Divisyen Dua Liga Sepanyol ke Liga Malaysia. Selamat datang @moussajr10,” tulis halaman sukan tersebut.
Membalas tulisan itu, Tunku Ismail menulis, “ada lagi seorang,” hingga mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati dan peminat bola sepak tanah air ini.
Sebelum ini, Tunku Ismail memberi bayangan pemain tersebut adalah pemain kelahiran Sepanyol seperti yang dikongsikan sebelum ini di akaun Instagram miliknya.
Ramai juga dalam kalangan peminat setia JDT menjangkakan Gonzalo Cabrera yang dilepaskan sebelum ini akan kembali menyertai pasukan.
Setakat ini, JDT mempunyai sembilan pemain import termasuk termasuk import bagi kuota Asia dan Asia Tenggara (ASEAN).
Selain Sidibe, tiga lagi muka baharu yang diperkenalkan ialah pemain kelahiran Fernando Forestieri dan dua pemain kelahiran Sepanyol iaitu Carli De Murga dan Bienvenido Maranon.
De Murga dan Maranon merupakan pemain import bagi kuota ASEAN setelah kedua-dua mereka beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina.
Sementara itu, pemain import sedia ada yang masih dikekalkan ialah Bergson Da Silva, Mauricio Dos Santos, Leandro Valesquez, Shane Lowry dan Fernando Rodriguez yang beraksi bersama JDT II.
JDT turut diperkuatkan dengan enam pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula, Mohamadou Sumareh, Natxo Insa, Matt Davies, Corbin Ong, Nathaniel Shio Hong Wan.