SEMAKIN menghampiri angka 40 tahun, ironinya selebriti popular Indonesia, Luna Maya belum terdesak untuk mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun sebagai seorang wanita, selebriti berusia 38 tahun itu mengakui naluri untuk menjadi seorang ibu semakin berkocak dalam dirinya saban waktu.
Justeru, Luna tidak teragak-agak untuk melakukan proses membekukan sel telur sebagai persediaan untuknya memiliki zuriat pada masa akan datang.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menggunakan alasan perlu berkahwin kerana faktor umur. Tapi sebagai seorang wanita, bohong kalau saya kata tidak pernah ada perasaan untuk menjadi ibu.
“Jadi sebagai persediaan, saya telah melakukan proses membekukan telur pada tahun lalu,” katanya.
Ujar pengacara program realiti Indonesia Next Top Model itu, dia telah terfikir untuk melakukan proses membekukan telur sejak empat tahun lalu.
“Dengan teknologi dan gaya hidup sekarang, saya rasa cukup sihat, bertenaga dan tidak juga berasa terbeban kerana usia,” jelasnya.