PETALING JAYA – Lebih daripada 12,000 penuntut Universiti Malaya (UM) menikmati fasa peralihan yang lebih selesa untuk kembali meneruskan pengajian di kampus hasil inisiatif
#DIY4UM.
Inisiatif usaha sama antara MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.), Touch ‘n Go Group dan UM itu menyaksikan lebih RM3.6 juta diagihkan bagi membantu mahasiswa UM membuat persiapan kembali ke kampus.
Setiap penuntut UM diberi bantuan tunai berjumlah RM300 untuk membeli barangan keperluan harian dan peralatan pembelajaran yang diagihkan melalui e-dompet Touch ‘n Go dalam tiga kali bayaran sepanjang November dan Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, pengasas syarikat, Tan Yu Yeh merupakan alumni UM dan beliau telah banyak membantu menjayakan pelbagai program bermanfaat buat universiti, penuntut dan komuniti di sana.
“Hasrat beliau dan visi kami adalah supaya program seumpama ini dapat merangsang organisasi lain agar bersama berganding bahu dalam membantu rakyat Malaysia menghadapi masa yang sukar ini.
“Kami sedar salah satu kumpulan paling teruk terkesan adalah penuntut universiti dan apabila mereka mula kembali ke kampus selepas pandemik, ramai yang memerlukan bantuan untuk membeli keperluan harian, bahan pembelajaran dan barangan pelindung diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai 11,000 penuntut terawal yang menggunakan dana tersebut layak menerima pulangan tunai RM10 apabila berbelanja minimum RM20 menggunakan e-dompet Touch ‘n ‘Go di cawangan-cawangan Kumpulan MR D.I.Y., laman dalam talian MR D.I.Y. di www.mrdiy.com.my serta program mini MR D.I.Y. yang boleh didapati dalam e-dompet Touch ‘n Go.
Sementara itu, Ong juga merakamkan penghargaan buat pasukan UM dalam memastikan setiap penuntutnya yang layak berdaftar untuk program bantuan tersebut.