WELLINGTON, New Zealand – Pasar raya-pasar raaya di New Zealand dikhuatiri akan berdepan kekurangan bekalan tisu tandas dalam masa seminggu, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Ini berikutan pembelian panik yang dilakukan oleh penduduknya selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan sekatan terbaharu Covid-19 bagi membendung penularan varian Omicron.
Bagaimanapun, Ardern menegaskan bahawa sekatan baharu itu bukanlah perintah berkurung kerana premis-premis perniagaan masih dibuka seperti biasa dan tiada sebarang pembatasan dalam perjalanan di seluruh negara.
Justeru, beliau menggesa rakyat New Zealand untuk tidak membuat pembelian panik dan bertenang selepas rakaman video menunjukkan rak-rak barang keperluan asas terutamanya tisu tandas di pasar raya didapati kosong.
Rakaman yang disiarkan di media sosial itu menunjukkan sebahagian besar rak menempatkan tisu tandas didapati kosong di pasar raya-pasar raya di Mount Eden, Auckland, dan Warkworth, sejak Ahad lalu.
Rangkaian pasar raya New Zealand, Countdown mengesahkan bahawa tisu tandas dan makanan kucing adalah antara barangan yang paling banyak dibeli pada hujung minggu lalu.
Serbuan oleh pembeli turut memaksa pihak pengurusan pasar raya meletakkan had ke atas barangan penting dalam usaha untuk menghentikan pembelian panik.
Pakar rantaian bekalan Universiti Auckland, David Robb memberi amaran bahawa tisu tandas akan kehabisan di pasar raya di seluruh New Zealand dalam masa seminggu jika masalah itu tidak diatasi segera.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Countdown, Kiri Hannifin mengakui terdapat peningkatan dalam penjualan tisu tanda beberapa jam selepas kerajaan mengumumkan sekatan baharu.
“Kami memahami asas pembelian secara pukal yang dilakukan oleh pelanggan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Namun begitu, kami mohon agar pelanggan tidak bertindak keterlaluan dan jangan bersikap pentingkan diri sendiri,” tegasnya. – Agensi