MELAKA – Kluster pendidikan di negeri ini semakin membimbangkan apabila mencatatkan satu kes varian Omicron, manakala seramai 261 yang lain disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd. Rahman berkata, kes varian Omicron itu dikesan membabitkan seorang pelajar di sebuah kolej vokasional.
Katanya, lebih membimbangkan, seramai 261 pelajar daripada empat buah institusi pendidikan di negeri turut disahkan positif Covid-19 dalam tempoh tidak sampai sebulan pusat pengajian itu dibuka.
“Bagi saya ini (kluster pendidikan negeri) semakin membimbangkan kerana daripada empat kluster yang tercetus, sebuah kolej telah mencatatkan satu kes varian Omicron.
“Kini kita hanya perlu waspada dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya untuk mengawal penularan varian baharu itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan operasi pemantauan Tahun Baharu Cina (Ops TBC 2022) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, empat institusi terlibat telah diisytiharkan sebagai kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kemendor, Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2, Kluster Jalan Telani dan Kluster Jalan Pengkalan Batu.-K! ONLINE