fbpx

K2

Menjejaki tinggalan Rasulullah SAW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANUAR (tengah) bersama Mohamad Yusof (kiri) serta Presiden Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah (kanan) melihat rambut Rasulullah SAW.

Sewaktu menunaikan umrah di kota suci Mekah, Arab Saudi buat kali pertama pada tahun 2006, hatinya sudah terdetik, alangkah bagusnya jika dapat memiliki sebidang kiswah iaitu kain penutup pintu Kaabah untuk dijadikan koleksi.

Lantaran rasa cinta dan keinginan Pengarah Urusan Manhajj Brothers Sdn. Bhd., Datuk Anuar Hassan yang begitu mendalam untuk mengumpul salah satu koleksi agung tamadun Islam itu, dia mengorak langkah dengan menghubungi beberapa kenalan sebelum akhirnya berjaya memiliki kiswah hasil tangan kerajaan Arab Saudi pada tahun 2008.

“Sebenarnya hobi mengumpul barangan bersejarah ini bermula dengan minat. Saya lihat kawan-kawan ada yang mengumpul barangan antik, koleksi kereta-kereta lama. Jadi, saya pula terdetik untuk simpan kiswah Kaabah.

“Koleksi pertama, saya dapat pada tahun 2008 iaitu kiswah yang dihasilkan kerajaan Arab Saudi setelah pelbagai rintangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi. Selepas kenal dengan beberapa kenalan dalam komuniti yang suka mengumpul barang artifak tamadun Islam, saya bertuah kerana ditawarkan oleh seorang hamba Allah untuk menjaga amanah artifak milik Rasulullah SAW,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Rasa sayang terhadap kesucian sejarah tamadun Islam, anak kelahiran Segamat, Johor ini terus menjejaki dan mengumpul pelbagai koleksi khazanah peninggalan Rasulullah dan para sahabat.

Sehingga kini, terdapat lebih 120 koleksi berjaya dikumpulkan Anuar yang juga merupakan usahawan berjaya di bumi selatan tanah air.

“Memang susah nak dapatkan barang-barang ini sebab artifak ini bukan berada di satu tempat. Ada yang dijaga hamba Allah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, malah kita juga dapatkan koleksi-koleksi yang disimpan pemilik barangan dari India dan Syria.

“Artifak-artifak ini adalah hak milik kita sebab sudah ada sijil yang sah, selain barangan ini, kita dapat daripada sumber yang betul dengan membayar mahar atau kita panggil sagu hati dalam jumlah tertentu,” katanya.

SEPASANG capal yang didakwa peninggalan Rasulullah SAW.

Dengan peluang dan izin Allah serta nikmat yang dikurniakan-Nya kepada Anuar, lelaki itu terus melakukan dakwah dengan mengadakan pameran di seluruh negara untuk memberi peluang bukan sahaja umat Islam di negara ini, malah untuk masyarakat dunia menatapnya.

Bukti tamadun Islam

Kini, artifak-artifak itu dipamerkan di galeri Anjung Warisan dan Kesenian Islam (Aura Islam) di Anjung Neigbourhood Centre, Persiaran Ledang Heights, Nusajaya kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru.

Jelas Anuar, dengan cara mengadakan pameran, masyarakat dapat melihat dengan lebih dekat bukti tamadun serta sejarah kerajaan Islam terdahulu.

Hakikatnya, sejak 2017, dia aktif membuat pameran dan artifak-artifak ini pernah dipamerkan ketika siri jelajah di Pusat Dagangan Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Masjid Putra, Putrajaya selain Melaka, Kelantan dan Terengganu.

“Saya fikir, rugi apabila kita ada khazanah ini tetapi tidak ada bangunan tetap untuk letakkan artifak-artifak berharga bagi dakwah kecil ini. Jadi, saya pilih satu lokasi sebagai galeri tetap.

“Pada Oktober 2019, artifak-artifak Rasulullah dan para sahabat ini dipamerkan secara rasmi di galeri Anjung Warisan dan Kesenian Islam (Aura Islam) selepas melakukan proses penilaian daripada Mufti Negeri Johor serta Majlis Agama Islam Negeri Johor,” katanya.

Sebanyak 120 koleksi artifak dipamerkan di galeri ini yang dibuka setiap hari kecuali hari Isnin bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam. Pameran akan berlangsung hingga Disember 2021.

Namun, waktu operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Anuar berkata, pihaknya akan membina sebuah galeri tetap dengan memiliki bangunan sendiri di Taman Maju Jaya, Johor Bahru dan dijangka beroperasi pada tahun 2022.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Manhajj Brothers, Mohamad Yusof Mohd. Surid berkata, galeri pameran ini terbahagi kepada tiga segmen utama.

Katanya, untuk segmen utama, galeri mempamerkan artifak pada diri Rasulullah S.A.W terdiri daripada rambut, janggut serta darah bekam baginda.

“Segmen kedua pula, kita pamerkan koleksi barangan serta pakaian yang digunakan Rasulullah. Antaranya capal (selipar atau kasut), tongkat, serban, bekas simpanan air serta bekas air zam-zam.

“Pada segmen ketiga, kita pamerkan barangan bersejarah seperti kiswah Kaabah yang digunakan dari zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah, Uthmaniyah sehingga zaman kerajaan Arab Saudi serta pelbagai lagi khazanah sejarah Islam,” katanya.

Mohamad Yusof berkata, susun atur pameran artifak dalam galeri ini bermula dengan al-Quran Turki, Acheh serta al-Quran Emas Uthmaniyah yang mana kitab suci itu adalah mukjizat bagi seluruh umat Islam.

Selepas menyelusuri koleksi al-Quran, pengunjung pula disajikan dengan koleksi barangan artifak ketika zaman pemerintahan Uthmaniyah antara tahun 1299 hingga 1923 misalnya baju perang yang digunakan tentera Islam, pedang milik Sultan Al-Fateh, peralatan perubatan Ibnu Sina.

Pengunjung seterusnya akan berasa kagum dengan pelbagai koleksi kiswah Kaabah, kain penutup Makam Rasulullah SAW dan penutup Makam Nabi Ibrahim.

Saat pertama kali melihat artifak peninggalan Nabi Muhammad dan para sahabat, hati pengunjung pasti sayu yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Seorang pengunjung dari Pasir Gudang, Zulkefly Idris, 58, menzahirkan penuh kesyukuran kerana berpeluang menatap barangan peribadi milik Nabi Muhammad.

“Meskipun sudah wafat, namun syiar Islam yang dibawa oleh baginda yang menjadi pegangan kita sehingga hari ini kekal utuh,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI