MARANG – Pas masih belum berputus asa untuk memujuk Barisan Nasional bagi menjalin kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rundingan masih lagi berlangsung walaupun kepimpinan Barisan Nasional (BN) Johor sebelum telah menyatakan hasrat untuk bertanding solo pada PRN berkenaan.
Beliau berkata, Pas tidak putus asa walaupun kerjasama sama dengan BN pernah menemui jalan buntu dan tidak menjadi kenyataan pada PRN Melaka sebelum ini.
“Kita akan terus berusaha dan mencuba (menjalin kerjasama dalam PRN Johor). Dunia belum kiamat lagi,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu Pas juga masih memutuskan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti tersebut pada PRN Johor kelak.
Sebelum DUN Johor dibubarkan, Pas cuma mempunyai satu kerusi di DUN Bukit Pasir yang diwakili Kapten (B) Najib Lep.
Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad dipetik telah memaklumkan Barisan Nasional (BN) berhasrat bertanding secara solo dalam PRN Johor ini tetapi masih tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat. – K! ONLINE