PORT DICKSON – Bangkai seekor penyu agar seberat dua kilogram ditemui dalam kejadian di Pantai Bagan Pinang di sini pagi semalam.
Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, bangkai haiwan tersebut ditemui oleh orang awam yang kemudian telah memaklumkannya kepada Pusat Ikan Hiasan Port Dickson pada pukul 11.30.
“Hasil pemeriksaan terhadap luar badan penyu tersebut, tiada kesan luka yang kritikal dijumpai. Bangkai penyu kemudiannya direkod panjang dan berat dan seterusnya ditanam di kawasan terbabit.
“Kemungkinan punca penyu berkenaan mati disebabkan luka dalaman kerana ada darah keluar dari mulutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kejadian itu adalah kali kedua bangkai penyu ditemui pada tahun ini selepas seekor penyu karah betina dianggar seberat tiga kilogram ditemui mati terdampar di Pantai Saujana di sini dua minggu lalu.-K! ONLINE