fbpx

Fenomena Aphelion tidak beri sebarang ancaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Fenomena Aphelion tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap keadaan cuaca di negara ini termasuk mengancam kesihatan tubuh badan manusia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena semula jadi yang berlaku setiap tahun ini terjadi apabila bumi berada pada kedudukan paling jauh daripada matahari.

“Pada tahun ini fenomena Aphelion dijangka berlaku pada 4 Julai disesetengah negara termasuk Malaysia dan sebahagian lagi pada 5 Julai.

“Ketika fenomena ini berlaku, bumi berada pada jarak 152,100,000 kilometer (km) dari matahari. Fenomena ini juga tidak akan membawa kesan ketara kepada suhu bumi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas lanjut, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi suhu di sesuatu kawasan antaranya liputan awan dan tiupan angin.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan yang tular berhubung fenomena Aphelion yang akan memberi kesan terhadap cuaca dan tubuh badan manusia.

Dakwaan tersebut mengatakan fenomena ini akan mengakibatkan cuaca sejuk yang akan menyebabkan seseorang individu mudah terkena penyakit seperti demam, batuk dan sesak nafas.

“Saya ingin menafikan dakwaan tersebut dan fenomena ini tidak akan memberi kesan kepada kesihatan manusia kerana ia fenomena semula jadi dan tidak memberi sebarang impak kepada tubuh badan manusia.

“Fenomena Aphelion juga tidak berlaku pada bulan Januari tahun ini sebaliknya berlaku pada 4 Julai,” jelasnya.

Fenomena Aphelion berlaku apabila kedudukan bumi berada paling jauh daripada matahari dan kebiasaanya berlaku pada 3 atau 4 Julai setiap tahun manakala fenomena Perihelion adalah sebaliknya yang berlaku pada 3 atau 4 Januari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI