fbpx

Selesai segera konflik manusia-harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI pemburuan haram yang dipatahkan pihak berkuasa antara penyebab bilangan harimau di negara ini semakin pupus dan terancam. – GAMBAR HIASAN

Oleh SOPHIA LIM

WWF-Malaysia berasa amat sedih dan dukacita dengan kejadian yang berlaku di Kampung Sau, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini yang mana Anek Along, seorang penduduk Orang Asli berusia 59 tahun maut dibaham harimau. Kami mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa.

Kami juga menzahirkan rasa kecewa kerana harimau berkenaan terpaksa ditembak mati, walaupun ia merupakan spesies yang sangat terancam.

Tindakan itu bercanggah dengan komitmen yang diberikan oleh Malaysia untuk melindungi spesies ini dengan apa cara sekali pun.

Kami amat prihatin dengan keselamatan penduduk kampung dan menggesa agar langkah-langkah amalan terbaik diambil segera bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta impak buruk lain, sama ada kepada manusia mahupun harimau.

Konflik manusia-harimau berlaku apabila ia bertembung dengan manusia atau ternakan penduduk yang boleh mendatangkan rasa ketakutan, kecederaan atau kematian.

Di Rusia, dua ekor harimau liar yang membunuh tiga ekor anjing di pinggir bandar Vyazemskoye dibius dan berjaya dipindahkan ke Pusat Pemulihan Utyos.

Di Bhutan pula, konflik manusia-harimau adalah isu kritikal kerana terdapatnya komuniti petani yang tinggal berdekatan dengan kawasan perlindungan atau hutan simpan.

Selain langkah seperti menggunakan penghalau bunyi dan cahaya serta pagar elektrik, kaedah sistem selamat juga diguna pakai untuk menangani isu konflik manusia-harimau secara holistik dengan mengambil kira keselamatan manusia dan juga hidupan liar itu.

Untuk rekod, bilangan harimau di hutan Semenanjung Malaysia kini kurang daripada 150 ekor.
Namun kebelakangan ini, beberapa insiden melibatkan harimau keluar dari habitatnya dan mendekati kawasan penempatan manusia.

Berikutan peningkatan insiden sebegini, sangat penting untuk kita mencari jalan penyelesaian secara holistik dalam menangani konflik antara manusia dan harimau.

Untuk berbuat demikian, kita harus memahami sifat semula jadi harimau, punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya konflik dan mengambil tindakan penyelesaian segera.

Harimau memerlukan kawasan rayau yang luas, biasanya ditentukan oleh populasi mangsanya yang ada di situ.


HARIMAU secara semula jadinya merupakan haiwan yang hidup bersendirian.

Di Malaysia dan juga negara yang masih ada harimau, spesies itu menghadapi tekanan berterusan daripada pemburuan haram, dibunuh sebab konflik dan kehilangan habitat.

Di samping itu, ia turut bersaing untuk mendapatkan ruang dengan populasi manusia yang kian meningkat.

Harimau secara semula jadinya merupakan haiwan yang hidup bersendirian, melainkan ia adalah betina yang mempunyai anak atau yang sedang mencari pasangan.

Ia lebih suka menjauhkan diri daripada manusia dan memburu secara bersendirian dengan menunggu mangsa sebelum melakukan serang hendap.

Harimau boleh menjadi lebih agresif apabila diancam atau cedera, kerana reaksi semula jadinya adalah untuk mempertahankan diri.

Apabila kita berhenti mengancam sumber-sumber yang diperlukan untuk eko sistem terus berfungsi dan berada dalam keseimbangan, kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar itu dapat diurus dengan lebih baik.

Dalam usaha meningkatkan populasi harimau liar, kita perlu mencari jalan untuk menyelesaikan konflik manusia-harimau dengan lebih berkesan.

Ini bagi menjamin keselamatan komuniti yang tinggal berdekatan dengan hutan serta kejayaan usaha pemuliharaan harimau Malaya.

Tahun 2021 berakhir dengan penuh harapan berikutan pengumuman penubuhan Unit Jenayah Hidupan Liar oleh Polis Diraja Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Harimau Kebangsaan dan Kumpulan Kerja Harimau Malaya untuk mencari solusi bagi meningkatkan populasi harimau di habitat semula jadi.

HARIMAU sering terperangkap dalam konflik dengan manusia. –GAMBAR HIASAN

Bersama dengan badan bukan kerajaan lain, WWF-Malaysia telah melobi selama beberapa tahun untuk memastikan matlamat ini tercapai.

Kini, kita perlu bergerak ke hadapan dan melaksanakan fasa seterusnya, iaitu sembilan tindakan strategik untuk pemuliharaan harimau yang telah diluluskan Kabinet pada Jun 2021.
Harimau Malaya kini berada di ambang kepupusan.

Kita mungkin kehilangan harimau pada kadar lebih cepat daripada kemampuan haiwan itu untuk berkembang biak.

Dengan populasi harimau semakin berkurangan, peluang untuk spesies ini membiak turut berkurangan.

Oleh itu, sangat kritikal untuk kita melindungi setiap ekor harimau yang terdapat di hutan negara kita.

Tidak berapa lama lagi, kita akan menyambut Tahun Harimau. Harapan saya adalah supaya setiap rakyat Malaysia berusaha untuk memahami sifat dan pentingnya kewujudan harimau yang juga merupakan ikon negara. Apatah lagi, kewujudan spesies ini berkait rapat dengan kelangsungan hidup kita sendiri.
———————————————————————————————————————————
SOPHIA LIM ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WWF Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI