PETALING JAYA – MNRB Holdings Bhd. (MNRB) mengumumkan cabang perniagaan insurans semulanya, Malaysia Reinsurance Bhd. (Malaysia Re) telah menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperbaharui Penyerahan Sukarela (VC)nya bagi tempoh tiga tahun lagi, sehingga 31 Disember 2024.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, di bawah VC berkenaan, Malaysian Re telah menerima penyerahan dan penyertaan automatik bagi semua insurans semula fakultatif domestik dan insurans semula triti dalam industri insurans am.
“Malaysian Re akan terus menyediakan sokongan kapasiti tambahan melalui triti selanjutnya dengan syarikat insurans domestik.
“Selain itu, Malaysian Re turut menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada industri seperti sokongan teknikal dalam mengukur, khidmat nasihat pengurusan risiko, pentadbiran bagi risiko besar dan khusus serta menguruskan pelbagai inisiatif pembinaan kapasiti,” katanya.
MNRB menambah, syarikat itu juga terlibat dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat industri termasuk Baucar Perlindungan Tenang, inisiatif mikroinsurans nasional dan Tabung Saringan Covid-19 bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan melakukan lebih banyak ujian saringan. – K! ONLINE