PORTO, portugal – Meskipun tidak beraksi ketika menang 4-1 ke atas Croatia pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Dragao awal pagi semalam, kecergasan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo masih lagi diragui.
Jurulatih Portugal, Fernando Santos mengakui bintang Juventus itu mengalami jangkitan pada kakinya yang dikatakan berpunca daripada sengatan lebah.
Justeru, jangkitan yang dialami Ronaldo itu menyebabkan dia mungkin tidak dapat diturunkan lagi menjelang aksi menentang Sweden minggu depan.
“Saya tidak rehatkan dia (Ronaldo) pada perlawanan hari ini (semalam). Sekiranya dia cergas sepenuhnya, saya memang akan turunkannya dalam kesebelasan utama.
“Dia tidak alami sebarang kecederaan, cuma hanya perlu pulih daripada jangkitan tersebut. Dia akan berangkat bersama pasukan ke Sweden dan kami akan pantau perkembangannya,” kata Santos.
Mengulas aksi semalam, Santos menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya apabila masih mampu meledak empat gol menerusi Joao Cancelo, Diogo Jota, Joao Felix dan Andre Silva.
“Pemain-pemain menampilkan aksi sama seperti yang dipraktikkan semasa sesi latihan. Mereka memiliki keserasian yang cukup baik dan ia dibuktikan menerusi kemenangan hari ini (semalam),” ujarnya. – AGENSI