BRUSSELS, Belgium – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meletakkan tenteranya dalam keadaan siap siaga dan menghantar sejumlah kapal perang serta jet pejuang untuk mengukuhkan pertahanan di timur Eropah ketika ketegangan semakin memuncak berhubung kerahan tentera Rusia ke sempadan di sekitar Ukraine, kata perikatan itu hari ini.
“NATO akan terus mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk melindungi dan mempertahankan semua sekutunya termasuk mengukuhkan pertahanan di timur Eropah.
“Kami akan sentiasa bertindak balas terhadap sebarang kemerosotan dalam persekitaran pertahanan kami,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg dalam satu kenyataan.
Perikatan itu menyebut tentang keputusan baru-baru ini oleh Denmark untuk menghantar sebuah kapal perang dan sebilangan jet pejuang ke rantau Baltik,.
Sepanyol pula meningkatkan kerahan pasukan tentera lautnya, manakala Belanda meletakkan kapal perangnya dalam keadaan siap siaga dan boleh digerakkan pada bila-bila masa diperlukan. – AFP