LONDON – Pengurus Crystal Palace, Patrick Vieira lantang mengkritik pengadil perlawanan, Kevin Friend selepas pasukannya tewas 1-3 kepada Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park malam kelmarin.
Legenda Arsenal itu berpendapat, dua jaringan The Reds pada perlawanan itu sepatutnya dibatalkan kerana pemain sudah ofsaid untuk gol kedua selain tidak layak diberikan sepakan penalti pada penghujung permainan.
Justeru, Vieira menganggap Friend sudah melakukan kesilapan besar pada perlawanan itu sehingga menutup terus peluang The Eagles untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.
“Gol kedua Liverpool yang dijaringkan Alex Oxlade-Chamberlain tidak sepatutnya dibenarkan. Keputusan memberikan sepakan penalti juga mengarut tetapi saya tidak mahu ulas panjang kerana boleh berikan masalah.
“Saya percaya pengadil sudah lakukan kesilapan besar pada perlawanan ini. Beliau meleburkan harapan kami untuk mendapatkan mata selain menjejaskan moral pemain-pemain Palace,” luah pengendali dari Perancis itu.
Pada masa sama, beliau menyifatkan penyerang Liverpool, Diogo Jota sangat bijak apabila berjaya mempengaruhi pengadil untuk mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan Fabinho.
“Berhubung sepakan penalti, saya fikir dia (Jota) sangat bijak tetapi pengadil sangat naif. Bagi saya, Vincent (Guaita) lebih dekat dengan bola dan mustahil tidak ada sentuhan dalam situasi seperti itu,” ujarnya. – AGENSI