PETALING JAYA – Newsfeed Media, syarikat yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk merangka pelan pemasaran serta penjenamaan, melihat pelan perancangan yang rapi dan berstrategi dapat membantu memperkenalkan jenama syarikat masing-masing untuk jangka masa panjang.
Pengarah Urusannya, Mohd. Afiq Abu Hasan berkata, pelaburan yang tinggi dalam pemasaran tidak menjamin ia berjaya untuk mengetengahkan jenama PKS dengan baik dan berkesan tetapi perlu dilaksanakan secara lebih tersusun.
“Pemasaran luar talian juga masih relevan, terutamanya dalam membina kepercayaan masyarakat atau pengguna selain mampu meningkatkan kredibiliti dan lebih diyakini kesahihannya berbanding pemasaran secara dalam talian yang boleh di muat naik, di ubah serta dipadam pada bila-bila masa.
“Kami sangat komited dan sentiasa bersedia untuk membantu usahawan dan menawarkan pelan pemasaran yang strategik bagi meningkatkan jenama syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Newsfeed dengan Fareha Holding Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.
Fareha menjadi contoh PKS yang berjaya dalam bidang pemasaran sejak diketengahkan ke pasaran pada bulan Ogos 2020.
Melalui tudung bawal antikedut berharga RM27 sehelai, jenamanya kini semakin dikenali di pasaran tempatan sekali gus syarikat mencatat perolehan jualan yang baik setiap tahun.
“Fareha telah membuktikan bahawa produk tempatan hasil keluaran PKS telah berjaya mencipta jenama ke peringkat luar biasa dan dikenali di seluruh negara, malah mendapat tempat pertama di hati pencinta tudung bawal,” ujarnya.