PUTRAJAYA – Seorang bekas pengarah penguat kuasa agensi kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah secara bulanan daripada syarikat kontraktor.
Perintah reman sehingga 30 Januari itu dikeluarkan Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi ini.
Tertuduh dipercayai meminta dan menerima wang secara bulanan daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender kontrak kerja-kerja pembersihan bernilai RM3.1 juta di utara tanah air.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sabah pada pukul 2 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Tertuduh dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak Julai 2019 sehingga Mac tahun lalu daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE