fbpx

UiTM FC ‘pecah masuk’ kelompok elit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN tengah UiTM, Muhammad Rafie muncul wira pasukan apabila meledak gol tunggal kemenangan ke atas Pahang pada aksi Liga Super di Shah Alam semalam. - FB UITM FC

SIAPA sangka kelab Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC mampu memecah masuk kelompok empat teratas Liga Super selepas enam aksi setakat ini.

Kejayaan itu hadir selepas UiTM berjaya mencipta kejutan menewaskan pasukan pilihan yang juga naib juara Liga Super musim lalu, Pahang 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor kelmarin.

Kemenangan hasil gol tunggal Muhammad Rafie Mat Yaakob pada minit ke-62 itu menyaksikan UiTM kini menduduki tangga keempat menerusi kutipan 10 mata, sama dengan pasukan tempat kedua dan ketiga iaitu Terengganu FC serta Kedah.

Ketua jurulatih UiTM, Frank Bernhardt bagaimanapun enggan cepat berasa selesa dengan pencapaian itu, sebaliknya menggesa anak-anak buahnya agar mengekalkan momentum semasa dalam usaha mencapai matlamat pasukan musim ini.

“Walaupun kami berada pada kedudukan keempat sekarang tetapi kami cuma dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran. Bagi saya, ia masih belum selamat kerana tidak banyak perlawanan yang tinggal selepas ini.

“Kami tidak melihat pasukan-pasukan di atas, sebaliknya cuma fokus kepada pasukan sendiri. Sasaran kami ialah kekal dalam Liga Super dan jika meraih lebih daripada itu, saya anggap ia satu bonus buat kami,” katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut buat UiTM selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung sejak tertangguh Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Perlawanan seterusnya buat UiTM pada Jumaat ini dijangka lebih sukar kerana mereka bakal bertandang ke Stadium Ipoh menentang Perak yang tentunya mahu menebus maruah selepas dibelasah teruk pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim 0-7 baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI