fbpx

Kerajaan jamin keselamatan, kebajikan Orang Asli diancam harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (tengah) semasa merasmikan Pelan Strategik Pendigitalan Kesedar 2021-2025 di Dewan Dato’ Ariffin Said, Gua Musang hari ini. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

GUA MUSANG – Kerajaan memberi jaminan akan terus menjaga keselamatan dan kebajikan penduduk Orang Asli di Pos Bihai di sini yang kini diancam serangan harimau belang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan setakat ini mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga kebajikan penduduk di kawasan tersebut melalui pelbagai agensi.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) misalnya telah mengambil tindakan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dengan menyalurkan bantuan bakul kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Kita membuat pelbagai usaha untuk membantu penduduk di Pos Bihai. Agensi kerajaan seperti polis, pejabat daerah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menjalankan peranan masing-masing dalam isu ini.

“Bantuan bekalan makanan telah disalurkan oleh kementerian melalui Jakoa selepas penduduk Orang Asli tidak boleh keluar ekoran ancaman harimau belang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dewan Dato’ Ariffin Said di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kesedar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam majlis itu, Mahdzir turut merasmikan Pelan Strategik Pendigitalan Kesedar 2021-2025 dan menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan Kesedar.

Mengulas lanjut, menurut Mahdzir, berdasarkan maklumat yang diterima, Perhilitan kini giat memasang perangkap untuk menangkap harimau di kawasan pos Orang Asli itu.

Ujarnya, pemasangan perangkap itu dijalankan ekoran harimau tidak boleh ditembak mati sebaliknya ia perlu menjalani proses lain untuk menangkap haiwan buas tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI