SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tiada mempunyai masa menyalahkan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kelemahan banjir di peringkat negeri.
Amirudin berkata, ini adalah masa untuk semua pihak bekerjasama untuk menyelesaikan masalah dan isu berkaitan banjir seperti berdepan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.
“Kita bersiap sedia tetapi untuk 5,000 orang dan kenapa sebab pada tahun 2015, 2017 dan 2018 tidak melebihi jumlah itu.
“Itu pun dalam tempoh 24 hingga 48 jam telah memperbetulkan balik (pengurusan banjir). Saya rasa Ahli Parlimen sudah menjawabkan dan saya pun sudah jelaskan termasuk pada sidang akhbar sebelum ini dengan teliti.
“Namun, PM mengambil sikap untuk tunding jari kepada orang lain, mungkin itu solusi dia hendak masalah. Saya tiada masa hendak salahkan PM atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ismail Sabri berhubung kelemahan pengurusan banjir di peringkat negeri pada sidang khas Parlimen, minggu lalu.
Berhubung desakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan banjir, Amirudin menjelaskan perkara itu boleh dibangkitkan dalam sidang DUN pada 14 Mac depan.
Ujarnya, beliau berkemungkinan akan membentangkan laporan khas mengenai pertambahan belanjawan diperlukan dalam menangani hal banjir sama ada infrastruktur dan bantuan.
“Jadi, ada keperluan tiada masalah sebab saya sudah terangkan setiap hari. Mungkin Tan Sri Noh Omar (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor) tiada dalam negara ketika saya terangkan, jadi dia tidak tahu.
“Ramai yang tahu sebab itu dia gesa adakan sidang (khas banjir),” jelasnya. -K!ONLINE