fbpx

Tiga maut termasuk seorang rentung kemalangan dua buah kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan dua buah kereta yang terlibat dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Kuantan-Maran dekat Tanah Putih di Kuantan malam semalam.

KUANTAN – Tiga maut termasuk seorang lelaki yang rentung dalam kejadian kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Proton Iswara dan Proton Saga di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 dekat Tanah Putih di sini malam tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu kereta jenis Proton Iswara Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33, yang rentung; Azura Iskandar Mohamad, 32, (penumpang hadapan kereta Proton Saga) dan Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, (penumpang belakang Proton Saga) manakala pemandu dan empat lagi penumpang kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah Gambang ke Kuantan manakala kereta jenis Proton Saga dinaiki enam orang dari arah yang sama.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati apabila tiba di tempat kejadian pemandu kereta jenis Proton Iswara hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di sebelah kiri laluan.

“Susulan kejadian itu menyebabkan kedua-dua buah kereta berkenaan terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri dan menyebabkan kereta jenis Proton Iswara terbakar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut pemandu kereta jenis Proton Iswara dan dua penumpang kereta jenis Proton Saga meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi mangsa mengalami kecederaan.

Menurut Kamarulzaman mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera di hantar ke hospital sama.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta jenis Proton Iswara yang gagal mengawal kenderaan.

“Siasatan lanjut masih dilakukan dan mana-mana saksi yang melihat kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI