KUALA LUMPUR – Sebuah kedai alat muzik yang terletak di tingkat satu bangunan rumah kedai musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan Tun Tan Siew Sin, dekat sini lewat petang tadi.
Komander Operasi Kanan Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Armdan Mahat berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.55 petang.
“Seramai 45 pegawai dan angggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dibantu Pudu, Titiwangsa dan Keramat dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya petugas di lokasi didapati kebakaran melibatkan bangunan dua tingkat yang mana api bermula di tingkat satu yang menempatkan sebuah premis tempat penyimpanan alat muzik.
“Kebakaran di tingkat satu itu melibatkan kemusnahan 100 peratus manakala 80 peratus di tingkat bawah,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kepantasan anggota bomba telah berjaya menyelamatkan unit kiri dan kanan premis daripada terbakar,” ujarnya.
Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE