KUALA TERENGGANU – Dua beranak terpaksa meringkuk ke dalam penjara atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine pada dua tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan Masdi Mamat, 54, menjalani hukuman penjara 16 tahun manakala anak lelakinya, Muhammad Shafiq Haikal, 24, pula dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun.
Beliau juga memerintahkan Muhammad Shafiq Haikal agar menjalani hukuman 10 sebatan.
Begitupun, tertuduh ketiga, Shamsiah Awang, 50, yang juga isteri Masdi dibebas dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah menggugurkan pertuduhan terhadap wanita tersebut.
Terdahulu, Masdi dan anak lelaki, Muhammad Shafiq Haikal yang diwakili peguam bela, Datuk Bob S. Arumugam membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 665.77 gram.
Berdasarkan pertuduhan mereka didakwa memiliki dadah tersebut di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang, Kemaman pada pukul 1.30 pagi pada 19 Julai 2020.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Kosmo! 21 Julai 2020 melaporkan tiga beranak itu diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan yang berjaya merampas pelbagai jenis dadah dan aset bernilai keseluruhan RM1.5 juta. – K! ONLINE