fbpx

Jadikan sukan gaya hidup menceriakan Nurul Allya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SISWI UM berusia 20 tahun ini memaklumkan, minatnya dalam sukan disebabkan pengaruh kakaknya, bekas pemain bola jaring kebangsaan.

HASIL inspirasi daripada salah seorang ahli keluarga terdekat mendorong Nurul Allya Abu Bakar menceburkan diri dalam arena bola jaring.

Gadis berusia 20 tahun itu pernah dipilih sebagai sebahagian skuad pelapis bola jaring Kuala Lumpur sebelum dia melanjutkan pelajar ke Universiti Malaya (UM).

Di universiti, Nurul Allya meneruskan minatnya itu apabila dipilih mewakili Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah bagi menyertai temasya Sukan UM.

Selepas kejohanan tersebut, gadis berasal dari ibu kota itu memasang impian mewakili UM ke kejohanan dan temanya lebih besar seperti sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).

“Saya main bola jaring sejak sekolah rendah lagi. Saya minat sukan ini disebabkan pengaruh kakak, Nurul Adha yang merupakan bekas pemain dan ketua pasukan bola jaring kebangsaan.

“Kebetulan tubuh saya juga agak tinggi, jadi jurulatih ambil saya main untuk sekolah. Saya pernah dipilih menjadi pelapis bagi pasukan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Nurul Allya memaklumkan persaingan untuk mewakili kolej kediaman dan UM dalam arena bola jaring cukup mencabar memandangkan ramai pelajar berbakat.

Tegasnya, andai gagal terpilih menyertai pasukan bola jaring, dia terbuka untuk mencuba sukan lain terutamanya ragbi wanita yang dilihat cukup menarik.

“Ketika ini, saya giat menjalani latihan agar dapat terpilih mewakili UM. Pesaingan sangat sengit kerana ramai pelajar dari sekolah sukan di UM.

“Sekiranya tidak terpilih, saya akan cuba sukan lain termasuk ragbi. Saya menjadikan sukan sebagai gaya hidup, jadi saya tidak kisah untuk cuba apa-apa permainan pun,” terangnya.

Pada masa sama, Nurul Allya juga terlibat dalam pelbagai program anjuran universiti dan kolej kediaman. Salah satu program yang meninggalkan kesan mendalam kepadanya adalah Projek Yusoff.

NURUL ALLYA berhasrat untuk bekerja dalam bidang penulisan skrip, pengarahan atau perfileman satu hari nantI.

Projek Yusoff merupakan sebuah program anjuran Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah yang memberi pendidikan percuma kepada pelajar kurang bernasib baik.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memaklumkan, aktiviti tersebut membolehkannya menjadi tenaga pengajar kepada murid sekolah rendah.

“Projek Yusoff dijalankan dua kali sebulan. Setiap sesi berlangsung selama tiga jam dengan melibatkan jumlah penyertaan seramai sekitar 25 orang.

Dalam program ini, dia berpeluang mengajar subjek Matematik dan bahasa Inggeris secara santai kepada kanak-kanak. Kebetulan, saya bercita-cita menjadi guru sebelum ini,” katanya lagi.

Meskipun sibuk dengan aktiviti sukan dan kelab, namun itu bukanlah tiket buat Nurul Allya untuk mengabaikan kuliah atau tugasan yang telah diberikan pensyarah.

Pelajar jurusan Pengajian Media itu berkata, dia perlu bijak membahagikan masa supaya segalanya bergerak seiring dan tiada perkara yang ketinggalan.

“Ketika ini, kelas masih dijalankan secara hibrid iaitu (separuh pelajar mengikuti kelas fizikal dan selebihnya online). Jadi, ia lebih mudah untuk saya merancang dan menyusun jadual aktiviti pada setiap minggu,” tegasnya.

Mengulas mengenai masa depan, Nurul Allya memaklumkan, dia berhasrat untuk bekerja dalam bidang penulisan skrip, pengarahan atau perfileman.

Dia memaklumkan, jurusan pengajian media cukup luas, jadi dia boleh bekerja dalam pelbagai bidang mengikut minat serta kebolehan dimiliki.

“Mula-mula dahulu, saya ambil jurusan Pengajian Media sebab berminat menjadi penyampai berita. Selepas masuk universiti, saya dapati minat saya terarah kepada bidang di belakang tadbir pula.

“Jadi, saya serahkan masa depan kepada takdir dan rezeki. Lagi pun perjalanan pengajian saya masih jauh. Sekarang bukan masa sesuai untuk memikirkan soal kerjaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI