fbpx

Perak II tamat kemarau kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN pertahanan Perak, Muhammad Nazmi Ahmad (kanan) meraikan jaringannya dalam kemenangan 5-1 ke atas Kuching FA pada aksi Liga Premier semalam. - FB PERAK TBG

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

LUMUT – Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim gembira dengan kejayaan pasukannya selepas membelasah Kuching FA 5-1 pada aksi Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Manjung semalam.

Kemenangan itu berjaya memperbaiki kedudukan Perak II apabila keluar daripada kelompok dua terbawah dengan kini menduduki tangga kesembilan Liga Premier.

“Ini menunjukkan keupayaan kami menjaringkan gol dengan jumlah yang besar. Ia juga membuktikan kemampuan pemain muda untuk menggalas tanggungjawab apabila diletakkan dalam kesebelasan utama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Abu Bakar turut menyifatkan kemenangan pertama Perak II daripada lima perlawanan itu hadir disebabkan persediaan rapi mereka dengan mempertingkatkan aspek kepantasan dan ketepatan hantaran termasuk melakukan perubahan formasi serta taktikal permainan.

Justeru, beliau berharap kemenangan itu dapat menyuntik motivasi barisan pemainnya yang 65 peratus daripadanya tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Premier, bagi menghadapi baki lima perlawanan selepas ini.

“Impian kami untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan liga. Saya mengharapkan komitmen yang lebih tinggi walaupun berdepan kekangan seperti kekurangan pemain berpengalaman dan hanya mampu beraksi dengan dua atau tiga pemain import,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pengendali Kuching FA, Akira Higashiyama terpaksa akur  dengan keputusan itu berdasarkan komitmen ditunjukkan anak-anak buahnya yang sudah bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut.

“Saya tidak boleh kata okay atau tidak mengenai prestasi pemain tetapi mereka sudah berusaha sedaya upaya,” katanya.

Jurulatih dari Jepun itu akan memastikan para pemainnya dapat meningkatkan prestasi menjelang perlawanan seterusnya menentang Sarawak United yang disifatkan sebagai ‘pertembungan Sarawak’ pada Sabtu ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI