fbpx

Terpaksa pinjam duit, gadai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Setiap kali tiba musim menuai, pesawah di negara ini terus tertekan mencari jalan untuk mendapatkan modal bagi mengusahakan tanaman padi masing-masing.

Selain membuat pinjaman dengan bank, ada antara mereka turut berhutang dengan tauke mesin padi, broker lori atau pemilik kilang beras.

Malah ada antaranya yang terpaksa menggadai barang kemas selain membuat dua jenis pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Rata-rata mereka terpaksa berbuat demikian berikutan kos input pertanian semakin tinggi dengan kenaikan harga beberapa barangan seperti racun yang meningkat sehingga 100 peratus.

Selain kerugian akibat bencana antaranya banjir, pesawah juga dibebani masalah kelewatan bekalan benih padi sah sehingga memaksa mereka membeli daripada peniaga luar pada harga antara RM40 hingga RM60 bagi satu beg seberat 20 kilogram, melebihi harga kawalan RM35.

Seorang pesawah Khairul Azli, 48, berkata, dia terpaksa meminjam lebih RM5,000 daripada broker atau tauke mesin padi sebagai modal untuk mengusahakan 2.32 hektar sawah disewanya.

“Saya terpaksa, lebih-lebih lagi apabila hasil diperoleh selepas enam bulan. Kadang-kadang tidak pulang modal kerana padi rosak akibat serangan penyakit atau serangga perosak,” katanya di sini baru-baru ini.

Luahnya, hutang akan dipotong daripada pendapatan yang diperolehi daripada hasil padi yang dituai dan sekiranya tidak mencukupi dia terpaksa meminjam lagi untuk perbelanjaan dan modal mengusahakan sawah bagi musim seterusnya.

“Situasinya lebih kurang gali lubang tutup lubang. Malah bagi menampung perbelanjaan keluarga saya juga terpaksa membuat kerja-kerja lain,” ujarnya.

Luahan yang sama disuarakan pesawah, Shafie Said, 66, yang mengusahakan 30 relung sawah di Telok Tui, Jerlun dekat sini apabila terpaksa melakukan sendiri sebahagian besar kerja-kerja di sawah bagi mengurangkan kos operasi.

“Memang tidak tertanggung rasanya dengan kenaikan mendadak input pertanian sejak kebelakangan ini menyebabkan banyak kerja-kerja di sawah saya lakukan sendiri,” ujarnya.

Halijah mengusahakan sawah padi seluas 4.9 hektar di Paya Sepayang, Rompin.

Sementara itu di Pahang, seorang pesawah, Halijah Dahlan, 63 memberitahu, sebelum ini dia terpaksa menggadai barang kemas miliknya untuk modal me­nuai padi.

Bagaimanapun katanya, bagi musim baharu ini dia hanya meminjam duit daripada anak-anak dan saudara mara.

Halijah mengusahakan kira-kira 4.9 hektar sawah di Skim Sawah Paya Sepayang di Rompin.

“Sebelum kenaikan harga racun, kos minimum diperlukan bagi 1.2 hektar sawah ialah RM4,500 tetapi dengan kenaikan kini kos meningkat kepada RM6,000,” luahnya.

Dalam pada itu ujarnya, pada musim penanaman padi yang lalu dia mengalami kerugian apabila hanya mendapat hasil purata tiga tan beg bagi 1.2 hektar tanah dengan nilai hasil kira-kira RM3,000.

Katanya, situasi itu ekoran masalah penyakit padi yang menyebabkan banyak buah padi menjadi kosong atau hampa serta masalah padi angin yang berterusan menyebabkan hasil yang kurang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI