PEMENANG pingat gangsa Kejohanan Badminton Dunia 2018, Liew Daren bersimpati dengan nasib yang menimpa perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia selepas digantung daripada menyertai sebarang kejohanan selama dua tahun.
Daren yang juga pemenang kejohanan Siri Super Terbuka Perancis 2012 menjelaskan, dua tahun tanpa sebarang pertandingan boleh diibaratkan seperti membunuh karier pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Justeru, dia yang kini bergerak secara profesional menganggap keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggantung Zii Jia sebagai kerugian buat kedua-dua belah pihak memandangkan banyak kejohanan penting akan dilangsungkan tahun ini.
Daren memberi gambaran skuad badminton Malaysia akan berdepan kesukaran untuk menggalas misi pada temasya Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou 2022 serta saingan Piala Thomas di Bangkok tanpa kehadiran Zii Jia nanti.
“Sebagai pemain, memang saya fikir keputusan seperti ini tidak bagus kerana ia merugikan kedua-dua belah pihak. Kalau mahu ambil tindakan, BAM sepatutnya mengenakan hukuman denda kepada Zii Jia.
“Bagi saya, hukuman gantung selama dua tahun boleh diibaratkan seperti mahu mematikan karier pemain kerana ia satu tempoh yang lama tanpa sebarang kejohanan kompetitif.
“Zii Jia adalah perseorangan utama negara dan ada potensi untuk menang pingat buat Malaysia. Jika dia terus digantung, memang sukar kerana pemain-pemain lain masih muda dan belum berpengalaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, BAM membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari lalu selepas dia membuat keputusan meninggalkan badan induk itu dan bergerak secara profesional.
Meskipun beberapa siri perbincangan diadakan antara Zii Jia dan BAM, namun pemain berusia 24 tahun itu tetap dengan pendirian untuk keluar kerana tidak tahan dengan tekanan serta gaya hidup yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).