ST PETERSBURG, RUSIA – Seorang wanita dikhuatiri mati akibat dihanyutkan arus deras selepas melompat masuk ke dalam sebuah lubang ais di sebatang sungai yang membeku di St Petersburg, Rusia, lapor portal berita MailOnline semalam.
Mangsa berusia 40 tahun itu dilaporkan bertindak demikian bagi melaksanakan upacara keagamaan bagi ajaran Kristian Orthodox Epiphany.
Berdasarkan sebuah video yang tular, ibu kepada dua anak itu melompat ke dalam Sungai Oredezh sebelum ditarik arus deras di hadapan anak-anaknya.
Seorang lelaki yang dipercayai suaminya kemudian melompat masuk ke dalam lubang ais tersebut bagi mencari mangsa namun dia gagal ditemui.
Anggota penyelam penyelamat turut gagal menemui mayat mangsa.
Ketika kejadian, wanita yang bekerja sebagai peguam itu memakai sehelai pakaian renang sebelum membuat isyarat tanda salib, lantas menutup hidungnya serta melompat ke dalam sungai yang ketika suhu mencecah sekitar -5 darjah Celsius.
Penganut agama Kristian Orthodox Epiphany percaya bahawa air tersebut adalah suci untuk digunakan dalam upacara tahunan tersebut yang dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai penyakit. – AGENSI