NEW YORK – Pemain Bulgaria, Tsvetana Pironkova melakukan kejutan apabila melangkah ke pusingan 16 terbaik Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan pemain pilihan ke-18, Donna Vekic dengan kemenangan straight-set 6-4, 6-1 semalam.
Pironkova kembali menjadi pemain profesional pada tahun ini selepas membuat keputusan berehat selama tiga tahun untuk membesarkan anak lelakinya.
Kehadirannya semula di pentas Grand Slam membuahkan hasil apabila Pironkova meraih dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan pemain pilihan ke-10, Garbine Muguruza dan juga Vekic dalam tempoh 63 minit.
“Saya rasa luar biasa kerana tidak sangka mampu melangkah sejauh ini. Terbuka AS bukan saingan yang mudah dan saya berjaya melakukannya dengan baik.
“Tiga tahun tanpa sebarang kejohanan adalah satu perkara yang sukar dilakukan. Saya bangga mampu beraksi dengan cemerlang dan saya harap dengan kemenangan ini saya mampu melepasi pusingan berikutnya nanti,” katanya.
Sebelum tampil beraksi di Terbuka AS, Pironkova tidak menyertai sebarang kejohanan sejak beraksi di Wimbledon pada 2017 dan kejayaan melangkah ke pusingan 16 terbaik itu adalah pencapaian yang membanggakan.
Prestasi terbaik Pironkova di kejohanan Grand Slam apabila melangkah ke pentas semi final Wimbledon pada tahun 2010. – AGENSI