DUNGUN – Penduduk Santong, Paka dan sekitarnya gempar dengan penemuan kelibat seekor harimau belang yang didakwa berkeliaran di perkampungan tersebut semalam.
Kelibat harimau tersebut sempat dirakam seorang pemandu kenderaan yang terserempak dengan haiwan liar itu sebelum memuat naik video terbabit ke media sosial sejak malam tadi.
Berdasarkan klip video yang berdurasi 33 saat tersebut, haiwan buas berkenaan kelihatan keluar dari kawasan semak sebelum berlegar-legar di laluan berbatu yang sering digunakan penduduk setempat.
Ramai penduduk setempat menyatakan kebimbangan kerana lokasi penemuan harimau belang tersebut terlalu hampir dengan penempatan penduduk.
Sebahagiannya pula mendakwa harimau belang tersebut merupakan haiwan buas sama yang menyerang lembu ternakan penduduk di Kampung Chabang, Kerteh pada 14 Januari lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, setakat ini, pihaknya masih tidak menerima laporan berkenaan penemuan harimau belang tersebut.
“Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Kita tidak kemungkinan harimau belang itu berasal dari Hutan Simpan Rambai Daun berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE