BUKIT KAYU HITAM – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi sempadan Malaysia-Thailand didapati memakaikan PATI dengan gelang warna tertentu bagi memudahkan penghantaran ke lokasi ditetapkan.
Timbalan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, gelang tersebut memiliki dua warna iaitu biru dan kuning.
“Gelang berwarna kuning untuk PATI yang akan dibawa ke kawasan industri di Kulim manakala gelang biru untuk mereka yang akan dibawa ke Pulau Pinang.
“Apabila nampak saja gelang itu, maka mereka terus asingkan PATI-PATI tersebut dan ia dipercayai membantu mempercepatkan urusan tekong sebagai salah satu taktik mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA di sini hari ini. – K! ONLINE