LANGKAWI – Kegagalan pihak pembekal menghantar tempahan coklat import menjadi punca bekalan makanan itu tidak mencukupi bagi menampung permintaan pengunjung ke pulau peranginan tersebut.
Pengurus Outlet Kawasan Kompleks Haji Ismail Group (HIG), Mahmuzi Osman berkata, pihaknya menerima bekalan coklat daripada pembekal di Singapura yang juga satu-satunya pihak yang mempunyai lesen untuk mengedarkan coklat import di Asia Tenggara.
Katanya, pada awal pembukaan semula pulau ini kepada pelancong September tahun lalu, HIG telah membuat tempahan sebanyak 2,000 karton coklat import, bagaimanapun hanya menerima 100 karton sahaja.
“Di luar negara pun ada yang kena lockdown disebabkan pandemik Covid-19, macam coklat Daim dari kilang di Belgium juga tidak beroperasi pada masa itu, namun kini kilang tersebut sudah dibuka semula.
“Kita juga telah pesan 2,000 karton coklat Daim dan akan menerima 1,500 karton. Jadi menjelang Tahun Baharu Cina, semua coklat di premis HIG dijangka akan penuh semula,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, pelancong tidak perlu risau kerana bekalan coklat dijangka pulih penghujung bulan ini.
Dalam pada itu, kata Mahmuzi, buat masa ini pihaknya terpaksa mengehadkan penjualan coklat import dengan setiap pelanggan hanya boleh membeli dua pek sahaja bagi membolehkan lebih ramai yang dapat membawa pulang buah tangan.
“Pada pertengahan Disember tahun lalu, coklat import habis dijual dalam masa 20 minit sahaja selepas premis dibuka.
“Pada waktu itu, orang beratur di hadapan pintu sebelum pukul 9.30 pagi semata-mata hendak membeli coklat, sebab itu kami mengehadkan pembelian, antaranya Daim dan Pepero untuk setiap pelanggan,” jelasnya. -K! ONLINE