RASA simpati dan keinginan mencabar kemampuan diri menjadi antara faktor untuk Kim Pan-gon menerima tawaran yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melatih Harimau Malaya.
Menerusi satu laporan portal, bekas jurulatih Hong Kong itu turut mendapatkan pandangan daripada Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) sebelum mengambil keputusan menerima tawaran FAM.
Keputusannya ini juga turut bagi merealisasikan impiannya kembali bertugas di tepi padang dan tugasan terakhirnya bersama KFA adalah aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Syria, 1 Februari ini.
“Selepas Piala AFF Suzuki awal tahun ini, saya terima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk melatih pasukan kebangsaan. Secara peribadi, saya jangka untuk kembali ke padang sebagai jurulatih pasukan di Liga Korea, namun masanya tidak begitu tepat termasuk membabitkan jadual kelayakan Piala Dunia.
“Saya juga bersimpati dengan potensi pembangunan pasukan kebangsaan Malaysia dan visi mereka. Keputusan untuk ke Malaysia juga adalah untuk menyahut cabaran baharu.
“Sekali lagi saya berterima kasih kepada KFA kerana menyokong keputusan saya walaupun ia dibuat secara mengejut,” katanya.
FAM kelmarin mengesahkan melantik Pan-gon selaku jurulatih baharu Harimau Malaya bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan ekoran kegagalan di Piala AFF Suzuki.
Pan-gon diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan tambahan dua tahun lagi dan tugas berat menantinya untuk cuba membantu pasukan layak ke Piala Asia 2023 sekaligus memuaskan hati ramai pihak terutamanya dalam kalangan penyokong setia Harimau Malaya.