LONDON – Perlawanan menentang Burnley malam ini menjadi misi penting buat Arsenal yang mahu memulakan misi pemburuan slot ke saingan Liga Juara-Juara sejak kali terakhir membuat penampilan pada 2016.
Selepas tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris di tangan Liverpool dan dihimpit situasi kemarau kejuaraan, pengurus The Gunners, Mikel Arteta kini mengalihkan tumpuan ke arah pemburuan untuk menamatkan kempen liga di kelompok empat terbaik.
“Kami berada di sini untuk memenangi perlawanan dan itu adalah satu tekanan. Kami tahu jumlah perlawanan yang kami akan harungi dan perlu memenanginya jika mahu berada di sana (kelompok empat teratas).
“Kami tidak boleh melihatnya terlalu jauh. Banyak perkara yang berlaku sejak beberapa minggu ini dan agak sukar untuk menghadapinya kerana kami sudah pun kehilangan ramai pemain.
“Kami perlu bersatu dan memenangi perlawanan ini (menentang Burnley). Seterusnya kami berharap mampu membawa beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kami ini,” kata Arteta.
Arsenal kini berada di tempat keenam Liga Perdana Inggeris, berkongsi 35 mata dengan Manchester United dan hanya dipisahkan satu mata berbanding Tottenham Hotspur di tempat kelima.
Dalam masa sama, Arteta juga berharap pemainnya berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika Burnley agak lama berehat apabila kali terakhir turun beraksi untuk saingan liga adalah pada 2 Januari.
“Mereka adalah pasukan yang cukup kompetitif. Bagi kami, ia perlawanan yang penting khususnya selepas menghadapi kekecewaan dan kami perlu bangkit ke landasan kemenangan,” jelasnya. – AGENSI