LARUT – Kerajaan tidak melarang rakyat negara ini berkahwin dengan warga asing di luar negara tetapi perlu mendaftarkan perkahwinan mereka segera bagi mengelakkan implikasi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini termasuk membabitkan soal kewarganegaraan pada anak sekiranya perkahwinan itu tidak didaftarkan secara sah.
Menurut beliau, sebarang permohonan dokumen pengenalan diri akan diteliti secara terperinci terlebih dahulu sebelum kerajaan memberi jawapan sama ada diluluskan atau pun ditolak.
“Siasatan terperinci dalam hal ini sudah tentunya mengambil masa lebih dari enam bulan untuk memastikan dokumentasi lengkap tentang pendaftaran perkahwinan, kelahiran dan sebagainya.
“Ini termasuk berkaitan status ibu bapa sama ada keduanya adalah warganegara atau sebaliknya dan juga status perkahwinan,” ujarnya selepas menyerahkan sijil kelahiran dan kad pengenalan diri kepada lima penduduk di Kampung Tapah Sungai Bayor, Selama hari ini.-K! ONLINE