LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui pasukanya perlu mengubah sikap sekiranya mahu kekal berada di kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Tengah malam ini, The Blues dijadual turun menentang Tottenham Hotspurs pada aksi derbi London yang menyaksikan pertemuan kali ketiga membabitkan kedua-dua pasukan sepanjang Januari.
Sejak dua bulan kebelakangan ini, Chelsea seakan hilang rentak untuk mencabar kejuaraan selepas hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan liga, malah Tuchel juga menyifatkan anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar ketika seri 1-1 dengan Brighton Rabu lalu.
“Saya dapat lihat, merasai sendiri emosi dan kekecewaan. Saya perlu pastikan yang kami memiliki sikap dan pemikiran yang berbeza. Selepas ini kami berdepan perlawanan besar.
“Kami perlu pastikan bahawa kami turun dengan sikap dan mentaliti yang berbeza. Kami perlu benar-benar bersedia untuk menghadapi aksi besar ini,” kata Tuchel.
Spurs akan turun dengan motivasi yang tinggi ketika mereka masih lagi segar dengan kebangkitan ketika menewaskan Leicester City 3-2 selain kekurangan empat
perlawanan berbanding Chelsea yang sudah pun beraksi 23 kali.
“Agak janggal melihat jadual perlawanan kerana pasukan (Spurs) yang kurang empat perlawanan akan bersaing merebut kedudukan sama dengan kami.
“Ia adalah tanggapan salah jika ada yang mengatakan kami selesa tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya,” jelasnya. –AGENSI