MARANG – Seekor lagi penyu agar ditemui mati di perairan Terengganu hari ini dan merupakan yang ke-10 sejak 1 Januari lalu.
Bangkai penyu jantan dewasa itu dijumpai timbul di kawasan pantai berhampiran sebuah resort di Pulau Kapas di sini pada pukul 11 pagi.
Difahamkan, 10 ekor penyu agar iaitu enam betina dan empat jantan telah ditemui mati di pesisir pantai Terengganu dalam tempoh 22 hari pertama tahun ini.
Aktivis pemuliharaan penyu, Rani Awang berkata, beliau bergegas ke pulau peranginan tersebut sebaik menerima maklumat penemuan bangkai penyu.
“Berdasarkan keadaan bangkai penyu, saya percaya punca kematiannya akibat lemas terperangkap di dalam pukat.
“Ini bukan pertama bangkai penyu mati disebabkan kerakusan nelayan ditemui terdampar di perairan Pulau Kapas,” katanya di sini hari ini.
Rani memberitahu, sebanyak lapan ekor penyu agar dan karah ditemui mati dipercayai akibat terperangkap di dalam pukat pari dan pukat tunda sepanjang tahun lalu.
Pengasas Konservasi Penyu Marang (KPM) itu kesal dengan sikap segelintir nelayan yang tamak masih menggunakan pukat jenis berkenaan walaupun diharamkan. – K! ONLINE