JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad tiba di Istana Bukit Serene, di sini untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau yang menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam dan bernombor pendaftaran JRA 1 itu memasuki istana pada pukul 4.40 petang.
Kunjungan Hasni ke istana berkenaan bagi menyerahkan dokumen pemasyhuran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau kemudiannya akan kembali ke pejabat UMNO Johor untuk mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu yang dijadualkan berlangsung pada pukul 6 petang.
Terdahulu, Hasni mengesahkan pihaknya telah mendapat persetujuan daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.-K! ONLINE