fbpx

JBPM rencana modul dayakan komuniti hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Hamdan (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian daripada pengamal media yang menerima sijil penghargaan pada Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JBPM di Ibu Pejabat JBPM hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini sedang di dalam proses merangka modul untuk Kursus Pengurusan Bencana Komuniti Keluarga Malaysia bagi mendayakan sesebuah komuniti agar sentiasa bersedia dalam menghadapi ancaman bencana.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, dengan kerjasama Persatuan Geospatial dan Remote Sensing Malaysia, modul berkenaan akan membantu sesebuah komuniti untuk lebih berkemampuan mencegah serta tahu apa yang perlu dilakukan sebelum, ketika dan selepas bencana berlaku.

“Perangkaan modul ini dilakukan susulan kejadian bencana banjir yang melanda beberapa negeri di seluruh negara pada penghujung tahun lalu dan ia dirancang diadakan di beberapa kawasan berisiko tinggi (hotspot) yang telah dikenal pasti.

“Program ini akan melibatkan ketua-ketua masyarakat, penduduk dan wakil-wakil penduduk yang boleh menjadi ‘anchor’ kepada komuniti berkenaan dalam membantu melaksanakan langkah-langkah pencegahan, persediaan serta sebagai responder awal ketika berlakunya bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JBPM di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Menerusi majlis berkenaan, seramai 36 individu yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi, syarikat, orang awam serta pengamal media turut diberikan sijil penghargaan susulan pelbagai bentuk sumbangan yang diberikan kepada masyarakat juga jabatan berkenaan.

Menurut Mohammad Hamdan, program tersebut akan dilaksanakan bersama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sejajar dengan Dasar Komuniti Negara di mana KPKT merupakan tumpuan utama.

“Program ini dijangka dilancarkan pada penghujung Februari ini di kira-kira 250 hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan data-data yang diperolehi susulan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan memaklumkan bahawa pihaknya turut menjalankan penilaian kepada anggota bomba di seluruh negara yang menyaksikan Kuala Lumpur serta Johor berjaya memperolehi Lima Bintang Cemerlang berdasarkan Sistem Star Rating (SSR) yang menggunakan garis panduan oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

“Tiga lagi negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Perlis turut memperolehi Limba Bintang biasa manakala 11 lagi negeri memperolehi Empat Bintang yang merangkumi prestasi, keanggotaan, pengurusan logistik, pengurusan biasa, pengurusan kualiti, kutipan hasil, penjagaan aset, perbelanjaan dan lain-lain penilaian,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI