BAGAN SERAI – Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan pemberian suntikan dos penggalak (booster) kepada rakyat Malaysia seperti yang dicadangkan mufti Perlis baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kenyataan itu sememangnya tidak wajar sebaliknya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempergiatkan lagi program vaksinasi untuk menyelamatkan nyawa rakyat.
“Sebenarnya pengambilan booster ini sangat penting untuk melindungi diri dari kesan Covid-19 terutama dengan varian Omicron yang dihadapi di seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Justeru cadangan mufti Perlis itu bagi saya tidak wajar,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak,Parlimen Bagan Serai,di Tapak Pasar Tani,Pusat Bandar di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, sehingga semalam sebanyak 10.4 juta atau 44 peratus rakyat malaysia telah menerima suntikan dos penggalak dan pihaknya menjangkakan akan mencapai sehingga 60 peratus penghujung Januari ini.
Ditanya mengenai pelbagai berita dan video tentang keburukan vaksin sehingga ada yang lumpuh, meninggal dan sebagainya, Noor Azmi menegaskan sehingga kini belum ada kes kematian direkodkan disebabkan vaksin.
“Berita-berita yang diviralkan orang sakit, meninggal selepas ambil vaksin memang benar namun punca kematiannya setelah dibedah siasat bukanlah disebabkan vaksin sebaliknya penyakit lain yang dialami.
“Zaman sekarang orang bebas menghantar berita dan video jadi kita menjawab perkara-perkara ini berdasarkan postmortem dan maklumat sahih,” jelasnya. – K! ONLINE