KOTA BHARU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan membincangkan mengenai kemungkinan untuk melakukan penstrukturan semula Majlis Pengurusan Bencana Negara (Nadma) agar kuasa majlis tersebut dapat diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, Nadma hanya berada di peringkat pusat dan menyelaras Jawatankuasa Bencana Negeri dan Daerah.
Menurutnya, sehubungan dengan itu, JBPP telah membincangkan mengenai penstrukturan semula Nadma agar kuasanya dapat ditambah selepas ini.
“Nadma berperanan sebagai penyelaras, namun di negeri masing-masing ada Jawatankuasa Bencana Negeri dan Daerah. Majlis itu hanya memanggil jawatankuasa di negeri dan daerah untuk mengadakan mesyuarat.
“Jadi, peranan Nadma itu akan dilihat semula sama ada ia boleh diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah agar arahan dapat dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Khas Badan Perhubungan UMNO Kelantan Bersama Perdana Menteri di Dewan UMNO di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Ismail Sabri, kerajaan akan menyelesaikan masalah bencana banjir di negara ini secara menyeluruh dengan fokus terhadap kawasan yang berisiko tinggi terlibat dalam bencana itu.
Ujarnya, masalah banjir sebelum ini hanya ditangani secara ad-hoc atau bersifat sementara sehingga mengakibatkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan berbilion ringgit setiap tahun.
“Sebagai contoh di Kelantan, daerah Kuala Krai dan Rantau Panjang sering banjir. Jadi, kita fokus terhadap dua kawasan yang berisiko tinggi ini.
“Sebelum ini, semua tindakan dijalankan secara ad-hoc. Jika tidak diselesaikan, kerajaan akan mengeluarkan banyak peruntukan di kawasan banjir dan itu tidak termasuk pembangunan infrastruktur,” katanya. – K! ONLINE