fbpx

KJ hadiri mesyuarat WHO di Geneva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berlepas ke Geneva, Switzerland hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland dari 24 hingga 29 Januari.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya memaklumkan, turut sama dalam delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan pegawai-pegawai kanan KKM.

“Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EB) WHO merupakan mesyuarat berkala yang dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan, ketua-ketua pengarah kesihatan dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan untuk membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

“Malaysia telah dilantik sebagai ahli EB WHO mewakili Rantau Pasifik Barat bagi tempoh tiga tahun bermula Mei 2021 hingga Mei 2024. Ahli Lembaga Eksekutif WHO di peringkat kementerian adalah Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.

Penyertaan Malaysia sebagai ahli Lembaga Eksekutif bagi rantau Pasifik Barat penting kerana Mesyuarat EB WHO adalah platform yang menyediakan ruang bagi konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli EB yang lain demi kepentingan sektor kesihatan sejagat.

“Selain itu, Malaysia juga akan mengetengahkan isu-isu kesihatan signifikan yang bukan sahaja melibatkan negara, malah negara anggota Rantau Pasifik Barat.

“Mesyuarat ini juga secara tidak langsung akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memperluaskan jaringan kerjasama dalam kalangan negara anggota di samping membincangkan kolaborasi yang berpotensi untuk dilaksanakan di rantau ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan dijangka akan menyampaikan kenyataan negara dan membuat intervensi ke atas agenda-agenda perbincangan pada mesyuarat tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI