KOTA BHARU – Kabinet memutuskan semua guru sekolah dan kakitangan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibenarkan untuk bergiat dalam bidang politik demi menghormati prinsip demokrasi seluruh rakyat di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan dengan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) segera mengeluarkan surat pekeliling mengenai perkara itu agar tiada lagi tekanan diberikan kepada guru-guru.
“Dalam menghormati prinsip demokrasi, kabinet telah memutuskan bahawa guru-guru dibenarkan berpolitik.
“Sebelum ini, kakitangan Kemas dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa. Sejak pemerintahan Pakatan Harapan, mereka tidak lagi boleh berpolitik.
“Oleh itu, saya turut mengumumkan bahawa petugas Kemas dibenarkan berpolitik tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Khas Badan Perhubungan UMNO Kelantan Bersama Perdana Menteri di Dewan UMNO di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Naib Presiden UMNO itu juga berkata, meskipun guru-guru dibenarkan berpolitik, mereka tidak boleh meninggalkan tugasan masing-masing.
Ujarnya, tindakan disiplin mengikut kepada jabatan tertentu akan dikenakan kepada guru-guru jika mengabaikan tugas mereka sekiranya terlibat dalam politik. – K! ONLINE