Sehingga semalam, lebih 25 juta individu dewasa telah lengkap menerima vaksin Covid-19. Lebih 9.7 juta pula telah mendapat dos penggalak.
Bagi tempoh sama juga, lebih 2.77 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah disuntik dengan dua dos suntikan imunisasi Covid-19.
Umum mengetahui semuanya atas dasar tanggungjawab. Lebih ramai menerima vaksin, lebih banyak dilindungi.
Bukan bermaksud tidak akan dijangkiti, namun risiko untuk berada dalam kategori 4 dan 5 lebih rendah.
Bagaimanapun kini, kerelaan rakyat di negara ini mengambil vaksin dirobek dengan tindakan sebilangan doktor swasta menjual sijil berkenaan kepada kalangan antivaksin.
Tindakan mereka yang tergamak membuat onar memalsukan sijil vaksinasi sangat mendukacitakan. Harapkan pagar, pagar makan padi, kata-kata tepat bagi mereka.
Golongan profesional ini tidak ‘amanah’ selain melanggar etika perubatan dengan tunduk kepada golongan antivaksin yang mahu hidup tanpa sekatan.
Namun tindakan itu memakan diri, menjejaskan peluang kita semua melangkah ke fasa endemik.
Serbuan polis di Selangor mendapati terdapat 5,601 pesakit yang didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera.
Di Terengganu, polis mendapati lebih 1,000 individu dipercayai didaftar sebagai penerima tetapi sebenarnya tidak mendapat vaksin Covid-19, malah ada kata mereka dicucuk air garam. Kedah, Kelantan dan Johor juga ada sijil vaksinasi palsu.
Tidak mustahil ketika ini jika ada hampir 10,000 individu memiliki sijil vaksin palsu di sekeliling kita.
Bilangan antivaksin atau pemegang sijil vaksinasi palsu juga mungkin akan bertambah selepas Februari ini apabila individu yang tidak ambil dos penggalak dikira tidak lengkap status vaksinasi.
Jika dulu golongan antivaksin perlu membayar RM3,000 kini sekitar RM300 untuk dua suntikan. Jika dihitung, mungkin jutaan ringgit telah diraih pakar perubatan yang tidak amanah ini.
Pembongkaran dan penahanan mereka yang menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu perlu diperhebatkan PDRM. Kita mahu tahu siapa lagi yang menjual dan memiliki sijil palsu ini.
Tidak usah dikira wang mereka keluar tetapi pandang pembaziran yang dilakukan. Vaksin yang telah diperuntukan dihantar ke mana, atau dibuang sahaja.
Benar, vaksin hak individu tapi tindakan anda memalsukannya merisikokan orang lain. Mungkin di sebelah kita sekarang adalah mereka yang tidak menerima apa-apa vaksin.
Pemalsuan sijil vaksinasi ini boleh membawa bencana kepada masyarakat melalui risiko rantaian jangkitan yang tiada perlindungan. Kata orang biar tidak kaya tapi hidup berkat.