LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta tidak mahu pasukannya ‘tunduk malu’ selepas tewas di separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan keputusan 0-2 kepada Liverpool pada aksi timbal balik di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk meraih kelebihan hasil dua jaringan Diogo Jota, manakala The Gunners bernasib malang apabila diarahkan beraksi dengan 10 pemain selepas dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
Arteta ternyata kecewa dengan kekalahan itu terutama selepas mengetahui pasukannya hanya selangkah lagi untuk ke pentas final di Stadium Wembley tetapi terpaksa akur dengan kualiti yang lebih hebat dimiliki Liverpool.
“Ini adalah keputusan yang agak menyakitkan hati kerana barisan pemain cukup bersemangat dengan potensi untuk beraksi di Wembley. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana pemain sudah berikan yang terbaik.
“Jika kami berjaya manfaatkan peluang terhidang pada awal saingan, mungkin keputusan akan berbeza. Namun, sebaliknya berlaku apabila Liverpool menggunakan sebaik mungkin peluang yang mereka miliki,” katanya.
Sementara itu, Arteta menyeru anak-anak buahnya agar lebih berdisiplin selepas pemain tengah, Thomas Partey dilayangkan kad merah sekali gus mengulangi situasi sama dilakukan Granit Xhaka ketika separuh akhir pertama di Anfield sebelum ini.
“Saya tak gemar dengan apa yang berlaku di atas padang. Pemain dilihat tidak berdisiplin apabila melakukan terjahan agresif yang tidak sesuai pada waktunya.
“Keputusan tersebut (kad merah kepada Partey) membuatkan harapan pasukan untuk bangkit menjadi mustahil,” katanya. – AGENSI