WASHINGTON – Satu kajian mendapati rangkaian satelit milik Elon Musk, Starlink menyebabkan kerja pemantauan asteroid terganggu kerana imej satelit-satelit berkenaan muncul pada teleskop pemerhatian, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal The Astrophysical Letters dengan ahli-ahli astronomi menyatakan kebimbangan berkenaan perkara tersebut.
Ketika ini, sebanyak 1,800 satelit Starlink dicatatkan mengorbit Bumi pada jarak kira-kira 550 kilometer untuk memberikan capaian internet kepada 24 buah negara.
Bilionair itu dikatakan menghantar semakin banyak satelit pengorbit Bumi sejak 2019 menerusi syarikatnya, SpaceX. Beliau malah merancang untuk mempunyai 10,000 satelit Starlink di orbit Bumi menjelang tahun 2027.
Dalam pada itu, kajian baharu itu secara khusus dijalankan untuk menyiasat kesan satelit-satelit ke atas imej pada kamera milik satu pusat kajian ruang angkasa, Zwicky Transient Facility (ZTF).
“Satelit-satelit Starlink bertanggungjawab ke atas 5,301 coretan pada imej teleskop antara November 2019 hingga September 2021,’’ jelas ahli astronomi dari Universiti Warsaw, Przemek Mroz yang merupakan pengarang utama kajian.
Beliau turut menjelaskan bagaimana bilangan ‘imej senja’ yang terjejas telah meningkat daripada 0.5 peratus kepada 20 peratus antara 2019 hingga 2021. – Agensi